PARIT BUNTAR: Pemandu maut manakala seorang penumpang cedera apabila van kilang yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Besar Tanjung Piandang, Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.45 pagi tadi.

Sejurus itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau dibantu Parit Buntar bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah van pekerja dan treler. Terdapat dua mangsa tersepit iaitu pemandu van, seorang lelaki berusia 40-an yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seorang lagi ialah penumpang hadapan van, seorang wanita berumur 30-an yang mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, komander operasi melaksanakan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER serta mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Operasi yang membabitkan kekuatan seramai 14 anggota bomba itu tamat pada jam 8.07 pagi.